Oleh azmi hassan
kashmir adalah contoh klasik di mana satu wilayah yang sepatutnya makmur kerana mempunyai segala-galanya tetapi telah bertukar menjadi tempat yang penuh konflik sinonim dengan apa yang berlaku di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Afghanistan dan Iraq.
Memang benar konflik di Kashmir disebabkan perbalahan di antara dua negara iaitu India dan Pakistan, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula kerana tiada toleransi di antara penduduk Kashmir itu sendiri. Tiada tolak ansur di antara penduduk beragama Islam dan Hindu sebenarnya telah memporak-perandakan Kashmir.
Isu Kashmir sememangnya amat sensitif bukan sahaja kepada penduduk Kashmir tetapi juga kepada rakyat Pakistan dan India. Kedua-dua negara ini telah berperang sebanyak dua kali akibat isu Kashmir. Malah Kashmir juga telah membuka jalan kepada Pervez Musharraf mengambil alih kuasa di Pakistan pada tahun 1999.
Presiden Pakistan yang baru beberapa minggu dilantik juga perlu banyak belajar apabila berhadapan dengan isu Kashmir.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Kashmir dibahagikan kepada dua wilayah berasingan bermula pada tahun 1947. Bahagian selatan Kashmir yang mempunyai 12 juta penduduk dikawal selia oleh India (ICK) sementara Pakistan pula menyelia bahagian yang lebih kecil di utara wilayah tersebut (PCK) yang menampung seramai empat juta penduduk.
Isu Kashmir, terutama sekali yang bersangkut paut dengan ICK perlu ditangani dengan berhati-hati kerana satu pertiga penduduknya adalah beragama Islam yang secara tradisinya lebih condong kepada Pakistan. Tidak menghairankan Islamabad lazimnya akan campur tangan dengan apa yang berlaku di sebelah ICK kerana ada penduduk di sana yang mahukan kemerdekaan dari India untuk menyertai Pakistan.
Kashmir terutama sekali yang dikawal oleh India iaitu ICK nampak begitu sukar untuk mengecapi keamanan kerana perbalahan di antara penduduk beragama Hindu dan Islam. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila New Delhi menggunakan strategi ketenteraan untuk mengekang bantahan dan tindak tanduk penduduk Islam di ICK.
Human Rights Watch iaitu organisasi antarabangsa yang memantau hak asasi kemanusiaan antarabangsa, saban tahun melaporkan Kashmir yang dikawal oleh India adalah antara negara yang sering berlaku pencabulan hak asasi penduduk.
Tidak keterlaluan diandaikan faktor kehadiran tentera India yang begitu ramai di Kashmir ICK adalah punca utama mengapa pencabulan hak penduduk Islam sering berlaku. Bayangkan New Delhi menempatkan seramai 500,000 tentera hanya untuk mengawal empat juta penduduk Islam Kashmir ICK.
Setiap seorang tentera India mempunyai tanggungjawab terhadap lapan penduduk Islam Kashmir. Nisbah 1:8 ini sememangnya keterlaluan yang sudah tentu akan membawa kepada penyalahgunaan kuasa.
Kerajaan Pakistan juga perlu dipersalahkan dengan pergolakan yang berlaku di Kashmir ICK kerana gemar mencampuri urusan wilayah tersebut walaupun Islamabad mempunyai Kashmir PCK untuk ditadbir. Tetapi secara logiknya sukar bagi kerajaan Pakistan untuk berdiam diri kerana empat juta penduduk Islam Kashmir ICK dianggap seperti rakyat Pakistan.
Pergolakan di Kashmir terutama sekali di wilayah yang dikawal oleh India dijangka menjadi bertambah buruk kerana sikap kerajaan India itu sendiri yang seolah-olah sengaja tidak mahu memahami kehendak penduduk Islam. Bukan sahaja dasar kekerasan melalui ketenteraan diamalkan terhadap penduduk Islam, tetapi sekatan ekonomi melalui halangan aktiviti perdagangan dengan wilayah Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan juga dikenakan.
Kedua-dua strategi kekerasan ketenteraan dan sekatan ekonomi hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk menghukum penduduk Islam Kashmir yang berkiblatkan kepada Pakistan.
Kebanyakan dasar yang diamalkan oleh pemerintah ICK seolah-olah mahu melaga-lagakan penduduk Kashmir yang beragama Hindu dan Islam. Peristiwa yang melibatkan kuil Hindu di Amarnath adalah contoh terbaik mengapa toleransi antara penduduk berlainan fahaman agama adalah begitu penting sekali.
Beberapa bulan lepas, pemerintah yang mentadbir Kashmir India, telah meluluskan pemberian tanah kerajaan seluas 99 ekar kepada pentadbir kuil untuk kegunaan pengunjung kuil tersebut di Armarnath. Keputusan ini telah menyemarakkan lagi kemarahan dan perasaan tidak puas hati penduduk Islam di ICK.
Konflik antara penduduk Hindu dan Islam akibat peristiwa pemberian tanah kepada kuil itu telah memasuki fasa yang agak genting kerana kebanyakan penduduk Islam menilai peristiwa tersebut seakan-akan dengan tindak-tanduk rejim Israel membangunkan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat kepunyaan rakyat Palestin.
Penduduk Islam Kashmir menuduh Srinagar yang dipengaruhi New Delhi mengamalkan dasar rejim Israel untuk merampas tanah kepunyaan penduduk Islam dan diserahkan kepada penduduk Hindu.
Setakat hari ini, kegiatan kumpulan pejuang Islam Kashmir boleh dikatakan hanya bersifat tempatan yang dipengaruhi kuasa luar seperti Islamabad dan New Delhi sahaja. Walaupun terdapat tuduhan wujud kaitan pejuang ini dengan kumpulan Al-Qaeda dan Taliban, ia tetap sebagai andaian sahaja tanpa bukti yang sahih.
Sikap bertimbang rasa dan memahami di antara penduduk Hindu dan Islam di Kashmir ICK adalah penting untuk kesejahteraan wilayah tersebut. Tetapi sikap tersebut sukar diamalkan jika terdapat kepincangan dalam dasar yang diamalkan seperti yang dipamerkan oleh Srinagar dalam kes kuil Hindu Armarnath.
Persepsi penduduk Islam terhadap tindak tanduk kerajaan Srinagar yang menyamakan dengan strategi rejim Yahudi Israel mampu membawa konflik antara agama ke tahap yang lebih buruk jika Srinagar dan New Delhi tidak berhati-hati menangani isu tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia Online http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
DL 22 Okt 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment