Saturday, November 15, 2008

Impian masjid penduduk Muslim di Seville

Susunan Idris Musa idris@hmetro.com.my

WALAUPUN berusaha bersungguh-sungguh sejak bertahun-tahun, pembinaan sebuah masjid yang mulia masih menjadi mimpi kepada masyarakat Muslim di bandar raya Seville, ibu negeri wilayah autonomi Andalusia.
“Kami masih berunding dengan pegawai bandar raya untuk mencari penyelesaian terhadap isu masjid itu,” kata seorang pemimpin masyarakat Muslim, Malik Roueth.

Selepas pegawai perbandaran mungkir terhadap beberapa janji untuk memberikan sebidang tanah bagi pembinaan masjid, masyarakat Muslim tiada pilihan kecuali membelinya sendiri.
“Kami memerlukan tidak kurang enam juta Euro,” kata Roueth, merujuk kepada harga tanah yang melambung di kawasan terbabit.
Sejak beberapa tahun lalu, penduduk Muslim di Seville cuba membina masjid di kawasan terbabit.
Usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan sebidang tanah negeri bagi pembinaan sebuah masjid yang dapat menampung sehingga 10,000 orang jemaah berulang kali menemui kegagalan.
“Mendapatkan sebidang tanah berkeluasan 6,000 meter persegi (bagi masjid) bukan suatu usaha mudah,” kata Roueth.
Seville adalah ibu negeri bagi Andalusia, satu wilayah yang paling padat dan kedua terbesar daripada 17 komuniti autonomi yang membentuk pemerintahan beraja Sepanyol.
Kini gereja besar Seville menduduki kawasan sebuah masjid lama yang terkenal dengan menara Giralda, yang boleh dilihat dari jauh.
Menara Moorish itu pernah digunakan untuk seruan azan dan balai cerap. Giralda menjadi menara loceng bagi gereja Kristian pada 1402.
Menara yang mengambil masa 12 tahun untuk dibina, dikategorikan paling cantik seni binanya daripada tiga menara agung Almohad. Dua lagi di Rabat dan Marrakesh, Morocco.
Perancangan untuk membina masjid di Seville berdepan dengan bantahan daripada sesetengah pihak di peringkat tempatan.
Beberapa bulan lalu, pihak berkuasa membekukan perancangan untuk memperuntukkan sebidang tanah bagi pembinaan terbabit selepas protes.
Pihak yang membangkang meninggalkan kepala babi yang disembelih di lokasi, dipercayai sebagai tindakan supaya Muslim tidak meneruskan perancangan terbabit.
Sebagai reaksi terhadap protes terbabit, pihak berkuasa menarik balik tanah walaupun ketika itu Muslim sudah membelanjakan lebih 200,000 Euro menyediakan tanah bagi pembinaan masjid.
“Ketika ini, kami tidak merancang untuk mendapatkan pampasan kewangan dari pihak berkuasa,” kata Roueth.
“Kami mempunyai perkara lain yang perlu diberikan keutamaan.”
Pada 2005, pihak berkuasa tempatan mungkir janji terhadap keputusan untuk memperuntukkan sebidang tanah bagi pembinaan masjid selepas protes serupa dari sesetengah penduduk.
Sebuah mahkamah di Sepanyol mengeluarkan perintah ketika itu, dalam persediaan mengizinkan tanah milik negeri untuk membina tempat ibadat.
“Keputusan juri berdasarkan kes sebelum itu,” kata Roueth.
“Gereja Katolik paling banyak akan mendapat kesan kerana kebanyakan gereja terbabit dibina atas tanah milik kerajaan negeri.”
Sepanyol menganggarkan minoriti Muslim kira-kira 1.5 juta, berbanding jumlah penduduk keseluruhan 40 juta orang.
Islam adalah agama kedua selepas Kristian dan diiktiraf melalui undang-undang kebebasan agama, yang dikeluarkan pada Julai 1967.

DL 151108
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20081107101909/Article/indexv_html

No comments: