
CHICAGO: Pemimpin Nation of Islam, Louis Farrakhan, menyifatkan bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai pemimpin luar biasa, tetapi turut memberi amaran bahawa kemenangannya boleh membangkitkan kebencian antara kaum.
Farrakhan, 75, berkata pencalonan Obama sebagai presiden menimbulkan minat seluruh negara, sama seperti yang pernah dilihat ketika Robert Kennedy bertanding jawatan Presiden pada 1968.
Pemimpin Nation of Islam itu berkata, beliau terharu melihat 'semangat jitu' di kalangan pengundi, terutama pada malam sebelum pilihan raya di Chicago.
Namun, katanya, negara berkenaan masih 'berpecah dan tidak bersatu' dan menegaskan bahawa bakal presiden itu menghadapi tugas berat mengambil alih kepemimpinan ketika waktu paling mencabar dalam sejarah di Amerika.
Kebanyakan pengundi yang menyokong Senator John McCain daripada parti Republikan 'adalah rakyat Amerika yang lebih berusia yang mana secara tradisinya mereka mempunyai pandangan serong terhadap kaum lain dan sukar diubah," katanya merujuk kepada rakyat Amerika di selatan.
"Kita boleh mengubah undang-undang, tetapi sukar untuk mengubah sikap," katanya dalam ceramahnya di Masjid Maryam, Chicago yang dihadiri kira-kira 1,200 orang Islam.
Beliau memetik laporan akhbar yang menyatakan jualan pistol semakin meningkat sejak kemenangan Obama dan menarik perhatian mengenai pergaduhan yang berlaku di sekolah, dengan pelajar kulit putih melaungkan 'kuasa kulit putih' dan pelajar kulit hitam melaungkan 'kuasa kulit hitam'.
"Saya pasti ramai di kalangan orang kita menjadi mangsa kerana kebencian yang amat sangat berikutan pemilihan seorang daripada kita ke jawatan yang begitu tinggi," katanya kepada perhimpunan di ibu pejabat kebangsaan Nation of Islam.
Farrakhan adalah pemimpin sebuah kumpulan keagamaan yang dikenali ketika perjuangan hak asasi manusia pada zaman Malcolm X.
Ketika Obama sedang berentap untuk menjadi calon Parti Demokrat, Farrakhan pernah berkata, bahawa hanya Obama dapat menyatukan perpecahan di antara kaum di Amerika dan beliau membawa harapan seluruh dunia agar Amerika menjadi tempat yang lebih baik. - AFP
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20081110224043/Article/indexworld_html
111108
No comments:
Post a Comment